DISEMBER 2024

Sarawak Rancang Wujudkan Penerbangan Terus Dari Kuching Ke Phnom Penh


KEMBOJA: Kerajaan Sarawak merancang untuk mewujudkan laluan penerbangan terus dari Kuching ke Phnom Penh, Kemboja.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini akan dilaksanakan setelah Kerajaan Sarawak mempunyai syarikat penerbangan sendiri nanti.

"Apabila kita mengambil alih syarikat penerbangan kita berusaha untuk merapatkan lagi hubungan dengan negara Kemboja.

"Mereka mempunyai banyak benda bersejarah dan begitu juga kita di Sarawak.

"Jadi kita boleh mempunyai laluan Kuching ke Phnom Penh yang hanya mengambil masa lebih kurang dua jam sahaja," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet hari ini.

Katanya, Kemboja akan mewujudkan industri halal yang mana ia boleh melibatkan kerjasama dengan Malaysia terutamanya Sarawak.

"Kemboja adalah pengeluar beras dan mungkin kita melihat kepada usaha mencari benih padi di sini yang boleh kita gunakan untuk membangunkan industri padi kita di Sarawak.

"Ini boleh kita usahakan di antara Sarawak dan Kemboja kerana kita juga hendak mengeluarkan beras dan mungkin teknologi boleh kita kongsi bersama," ujarnya.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis pembukaan Perhimpunan Agung Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) Ke-20.

Hadir sama Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Ekonomi Dato Hanifah Hajar Taib, Setiausaha Kehormat RISEAP Dato Mohamad Marzuki Mohamad Omar dan Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha.